Bersyukur Atas Nikmat
Bersyukur Atas Nikmat
Orang yang bersyukur jiwanya akan menjadi semakin bersih dan tenang. Jiwa yang bersih dan tenang akan semakin dekat dan ingat kepada Allah SWT.
وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا یَشۡكُرُ لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّی غَنِیࣱّ كَرِیمࣱ
"...Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah" (Surah an-Naml ayat 40).
Orang yang memperolehi nikmat dan bersyukur dengan nikmat, dia akan menggunakan segala nikmat tersebut untuk beribadat kepada Allah. Jika nikmat yang dimiliki dalam bentuk harta, dia akan menggunakannya untuk membantu orang yang memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, orang tua dan sebagainya.
Jika nikmat dalam bentuk kesihatan, dia akan menggunakan sebaik mungkin untuk beribadat kepada Allah seperti mengerjakan solat, puasa, zikir, membaca Quran, menuntut ilmu dan sebagainya.
Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada Allah. Mereka akan bersungguh-sungguh mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan menggunakan sebaik mungkin nikmat tersebut sekalipun nikmat itu kecil. Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan yang dituntut ke atas setiap manusia yang menyembah Allah SWT.
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَیِّبَـٰتِ مَا رَزَقۡنَـٰكُمۡ وَٱشۡكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمۡ إِیَّاهُ تَعۡبُدُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya" (Surah al-Baqarah ayat 172).
Salah satu cara menzahirkan syukur ialah dengan berkongsi harta, wang ringgit, makan minum, kenderaan, ilmu dan sebagainya kepada orang lain.
Perlu diingat bahawa rezeki, kekayaan dan kebahagiaan kita bukanlah kerana usaha kita semata-mata. Boleh jadi kerana doa anak-anak, doa isteri, doa suami, doa ibu bapa, doa anak-anak yatim, doa para janda dan fakir miskin atau mereka yang lemah dalam kalangan kita. Nabi SAW bersabda:
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ابْغُونِي ضُعَفَاءَكُمْ فَإِنَّمَا تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ بِضُعَفَائِكُمْ
Daripada Abu Darda berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda: Carilah keredhaan aku dengan berbuat baik kepada orang yang lemah di kalangan kamu kerana sesungguhnya kamu diberi rezeki dan pertolongan disebabkan orang-orang yang lemah di kalangan kamu" (HR Tirmizi No 1072) Status: Hasan Sahih
Comments